SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan ACLTwo MD2 Kumpulan H | Selangor FC 1-0 Dynamic Herb Cebu FC | 3 Mata Pertama Untuk #ACLTwo!

Oct 04, 2024 - FAS

Selangor FC meraih tiga mata penuh dalam perlawanan saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 Kumpulan H semalam menentang Dynamic Herb Cebu F.C. dengan keputusan 1-0 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya, Malaysia. 

Perlawanan lalu beliau ‘assist’ penyerang import Selangor FC, Ronnie Fernandez, kali ini Yohandry Orozco pula menjaringkan gol skuad Gergasi Merah menentang Gentle Giants (Cebu F.C.) semalam pada minit ke-10. Kedua-dua pemain import Selangor FC saling bantu satu sama lain bagi memastikan skuad Merah Kuning menjaringkan gol. 

Nidzam Jamil, Ketua Jurulatih Selangor FC, yakin pasukan berada di landasan yang sepatutnya dengan kemenangan semalam.

“Bagi saya, pasukan meraih empat mata dalam dua perlawanan, saya tidak katakan ini satu keputusan terbaik tetapi ini pastinya permulaan yang baik untuk kami selepas 8 tahun tidak bersaing di kejohanan peringkat besar ini. Jangkaan  dan harapan daripada ramai pihak sudah semestinya tinggi, tetapi dalam bola sepak, keputusan adalah penting, semalam kami dapat tiga mata pertama dalam ACLTWO 2024/25, saya berterima kasih atas kerja keras para pemain,” 

“Berdasarkan perlawanan, ya, kami sepatutnya menjaringkan lebih banyak  gol tetapi bagi saya jika kami tidak mencipta peluang, ini yang akan menjadi  masalah sebenar kepada pasukan. Apabila peluang mencipta terhasil, ini bermaksud lebih banyak peluang yang mendatang dan sedikit sebanyak memberi harapan kepada pasukan. Tambah lagi, pasukan lawan sangat berdisiplin terutama dalam bertahan dan pada separuh masa kedua mereka hampir mengikat kami tetapi pemain-pemain berjaya mengahalangnya.” jelas Nidzam Jamil.

Daripada perlawanan #SFCDHC dalam saingan AFC Champions League Two (ACL2) 2024/25 semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

AFC memilih Yohandry Orozco sebagai MoTM 

AFC sekali lagi memilih pemain Selangor FC sebagai MoTM namun kali ini milik Yohandry Orozco, pemain import Selangor FC. Dua tahun bersama Gergasi Merah, Orozco sentiasa menterjemahkan kepentingan beliau dalam pasukan dengan persembahan baik secara konsisten, bukan sahaja dalam Liga Malaysia namun dalam ACLTWO 2024/25 juga. Apabila Orozco beraksi, hantaran-hantaran cantik dan tepat yang mampu membawa kepada jaringan gol sentiasa akan datang daripada beliau. 

Kehadiran Nikola Jambor dan Mohammad Abualnadi

Nikola Jambor atau Niko dan Mohammad Abualnadi atau Abualnadi merupakan dua pemain baharu skuad Gergasi Merah sebaik sahaja jendela perpindahan dibuka. Kedua-dua mereka telah beraksi dalam perlawanan #SFCDHC semalam. Menurut Nidzam Jamil, “Niko dan Abulanadi dapat beraksi untuk perlawanan pertama mereka semalam. Niko secara jujurnya membawa sesuatu yang baharu kepada pasukan, antara elemen yang kami perlukan daripada seorang pemain tengah. Manakala, Abualnadi pula, kami memang mempersiapkan beliau untuk kejohanan ini, sebagai pemain muda, beliau sedikit-sebanyak sudah mula memahami corak permainan yang kita terapkan di sini. Saya yakin beliau akan  menunjukkan kelebihan beliau dalam masa terdekat.” 

Setakat ini, Jeonbuk Hyundai Motors masih mendahului Kumpulan H dengan enam mata penuh, diikuti Selangor FC di tempat kedua dengan empat mata, kemudian Muangthong United F.C. dengan satu mata dan Cebu F.C. di tempat keempat.

Liga Malaysia akan berehat seketika bagi memberi laluan kepada Kalendar FIFA. Selangor FC akan memulakan semula perlawanan pada 19 Oktober ini menentang PDRM FC bagi saingan Liga Super ke-12 pada jam 5:30 petang di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Selangor FC berterima kasih kepada 8,158 penyokong yang hadir memeriahkan Stadium MBPJ semalam biarpun perlawanan berlangsung pada hari bekerja. Kami amat menghargai kehadiran anda.

Pihak pengurusan Selangor FC yakin pasukan akan terus menunjukkan progresif dari masa ke semasa. Ayuh, Gergasi Merahku!

Demi Kebanggaan!